Gandingan campuran baharu melibatkan Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei merekodkan satu permulaan yang positif apabila berjaya merangkul kejuaraan pertama dengan menjuarai kejohanan Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2022.
Kejuaraan itu menjadi milik pemain berusia 24 dan 22 tahun masing-masing ini setelah berhasil menumpaskan beregu Thailand, Phatharathorn Nipornram dan Alisa Sapniti pada perlawanan akhir yang berlangsung semalam.
Dalam perlawanan terbabit, Tang Jie-Ee Wei mencatatkan kemenangan secara “straight set” dengan skor 21-15 dan 21-13 dalam tempoh tidak sampai setengah jam permainan.
RESULTS: #BangladeshIC2022
FINAL#MAS🇲🇾 Chen Tang Jie-Toh Ee Wei def. #THA🇹🇭 Phatharathorn Nipornam-Alisa Sapniti 21-15 21-13 pic.twitter.com/tbDK3c26p0
— BAM (@BA_Malaysia) December 11, 2022
Sebelum itu, Tang Jie-Ee Wei berhasil mara ke perlawanan akhir dengan menumpaskan gandingan Alvin Morada-Alyssa YsabeL (Filipina), Pannawat Theerapanitnun-Supamart Mingchua (Thailand), Hiroki Midorikawa-Natsu Saito (Jepun) dan Ayush Agarwal-Mahi Naresh (India).
Walaupun berhasil merangkul kejuaraan yang pertama, gandingan baharu Tang Jie-Ee Wei akan terus diuji pada minggu ini.
Bermula esok, Tang Jie-Ee Wei akan turun ke Perak bagi mengharungi satu lagi kejohanan iaitu Cabaran Antarabangsa Malaysia yang bermula dari 13 hingga 18 Disember bertempat di Arena Badminton Perak, Kompleks Sukan MBI, Ipoh.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia