Artikel

Piala Dunia: Bola Baharu Bernama ‘Al Hilm’ Akan Digunakan Bagi Aksi Separuh Akhir & Akhir

Perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2022 Qatar yang menemukan Croatia dan Argentina, Maghribi menentang Perancis serta pertarungan tempat ketiga serta akhir tidak lagi menggunakan bola ‘Al Rihla’.

Sebaliknya, penganjur memaklumkan keempat-empat perlawanan itu akan menggunakan Bola Perlawanan Rasmi baharu yang bernama ‘Al Hilm’ yang bermaksud Impian atau ‘The Dream’.

Perkembangan dan pengenalan bola baharu itu dimaklumkan sendiri oleh penganjur menerusi satu kenyataan media, semalam.

Difahamkan, bola yang turut dibuat oleh syarikat sukan terkemuka, Adidas itu dilengkapi dengan teknologi “Connected Ball” yang sama seperti bola Al Rihla – yang digunakan sepanjang saingan peringkat kumpulan sehingga suku akhir baru-baru ini.

Teknologi itu merangkumi sensor unit mengukur inertia (IMU) yang diletakkan di dalam setiap bola tersebut bagi membolehkannya memungut data dan dapat digunakan untuk membantu para pengadil membuat keputusan yang lebih tepat.

Penggunaan sensor ini telah terbukti membantu pengadil membuat keputusan yang tepat dalam dua kejadian yang cukup hangat dibincangkan oleh para peminat bola sepak dunia.

Ianya melibatkan jaringan yang dianugerahkan kepada Bruno Fernandes semasa Portugal menentang Uruguay. Ketika bola itu sedang menuju ke dalam gawang, Cristiano Ronaldo dilihat melompat untuk menanduk masuk bola terbabit.

Bagaimanapun, FIFA mengesahkan jaringan itu menjadi milik Bruno apabila sensor IMU yang diletakkan di dalam bola tersebut tidak mengesan sebarang perubahan inertia dalam perjalanan bola itu sekaligus menandakan tiada sebarang sentuhan oleh Ronaldo.

Dengan pungutan data itu bersama-sama data posisi pemain daripada Teknologi Ofsaid Separa Automatik (SAOT), ianya turut membantu pengadil video untuk membuat keputusan samada seseorang pemain itu berada dalam kedudukan ofsaid atau tidak.

Perubahan paling ketara dapat dilihat antara Al Rihla dan Al Hilm adalah penggunaan warna pada tekstur serta coraknya.

Al Hilm hadir dengan warna ala-ala emas pada keseluruhan tekstur bola tersebut dan dihiasi dengan warna Merah Manggis atau ‘Maroon’ pada corak segi tiganya.

Sebagai perbandingan, Al Rihla menampilkan warna putih pada keseluruhan teksturnya disamping diserikan dengan pelbagai warna pada corak segi tiga yang sebagian bersarnya merangkumi biru, jingga, merah dan kuning.

komen