Artikel

Cristiano Ronaldo Atasi Rekod 195 Penampilan Soh Chin Ann

Portugal telah terkeluar daripada saingan Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar ekoran tumpas kepada Maghribi di peringkat suku akhir pada Sabtu lalu.

Namun penyerangnya merangkap pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali, Cristiano Ronaldo yang masuk selaku pemain gantian pada minit 51’ sempat mengatasi rekod 195 penampilan yang dipegang oleh bekas pemain skuad kebangsaan Malaysia, Datuk Soh Chin Ann.

Kemasukan pemain berusia 37 tahun itu menggantikan Ruben Neves menjadikannya telah tampil sebanyak 196 kali bersama skuad berjulukan Selecao das Quinas sepanjang kariernya.

Baca: Empat Legenda Harimau Malaya Sertai FIFA Century Club

Ianya menyamai rekod penampilan terbanyak dalam sejarah yang dipegang oleh penyerang Kuwait, Bader Al-Mutawa, 37 tahun, sepertimana diiktiraf oleh badan bola sepak dunia, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerusi senarai FIFA Century Club. 

Memandangkan kedua-dua pemain ini masih aktif bermain bersama skuad kebangsaan masing-masing, Ronaldo dan Bader berpeluang untuk melebarkan lagi rekod penampilan masing-masing serta merebut gelaran pemain dengan penampilan terbanyak bersama skuad kebangsaan sepanjang zaman.

Sebagai rekod, Ronaldo melakukan debut bersama skuad senior Portugal kendalian Luis Felipe Scolari ketika bertemu Kazakhstan pada Ogos 2003. Pada ketika itu, Ronaldo berusia 18 tahun dan 6 bulan dan perlawanan itu berlangsung di Municipal Stadium Eng. Manuel Branco Teixeira yang menyaksikan Poertugal meraih kemenangan 1-0.

Featured Image: FIFA World Cup

komen