Viktor Axelsen Sapu 8 Gelaran Individu Sepanjang Tahun 2022
December 12, 2022 Hafizuddin Omar

Tahun 2022 menjadi tahun yang cukup gemilang bagi karier badminton perseorangan lelaki No.1 dunia dari Denmark, Viktor Axelsen.

Kejayaan menumpaskan pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting pada perlawanan akhir Jelajah Dunia Akhir BWF 2022 semalam memberikannya kejuaraan terakhir buat Axelsen pada tahun ini.

Secara keseluruhannya, Axelsen telah merangkul lapan kejuaraan daripada 12 kejohanan individu yang disertainya sepanjang tahun ini.

Tujuh kejohanan yang dimenanginya sebelum ini ialah Kejohanan Terbuka Seluruh England, Kejohanan Eropah, Indonesia Masters, Terbuka Indonesia, Terbuka Malaysia, Kejohanan Dunia BWF dan Terbuka Perancis.

Menariknya, Axelsen berhasil muncul juara setiap kali mara ke perlawanan akhir bagi setiap kejohanan tersebut. Tiada sebarang perlawanan akhir disudahi dengan gelaran naib juara oleh Axelsen pada tahun ini.

Pencapaian merangkul 8 kejuaraan pada tahun ini juga menjadi yang terbaik dalam kariernya setakat ini. Sebagai perbandingan, Axelsen hanya meraih tujuh kejuaraan pada tahun lalu.

Featured Image: Instagram Viktor Axelsen

Komen