Artikel

Harry Kane Menyamai Rekod Jaringan Terbanyak Wayne Rooney Bersama England

Biarpun tersingkir daripada saingan Piala Dunia selepas tumpas kepada Perancis, penyerang skuad kebangsaan England, Harry Kane pulang dengan satu rekod peribadi yang baharu dalam kariernya.

Dalam perlawanan menentang skuad Les Bleus pada peringkat suku akhir itu, Kane menyumbang satu gol buat England menerusi sepakan penalti pada babak kedua atau lebih spesifiknya pada minit 54’.

Untuk makluman semua, jaringan itu merupakan yang ke-53 direkodkannya buat England sejak melakukan debut pada penghujung Mac 2015.

Dan jumlah itu menyamai rekod jaringan oleh bekas penyerang England, Wayne Rooney merangkap penjaring terbanyak sepanjang zaman skuad Three Lions.

Dalam perlawanan itu juga, Kane berpeluang untuk memintas rekod jaringan Rooney apabila England dihadiahkan sepakan penalti pada minit 81’ ekoran Mason Mount dijatuhkan di dalam kotak.

Bagaimanapun, peluang itu hangus sama sekali dimana Kane gagal menyempurnakannya setelah bola rembatannya melewati palang gol. 

Situasi itu juga menyebabkan England tidak dapat mengikat Perancis dengan skor 2-2 sekaligus menyaksikan mereka tersingkir daripada saingan Piala Dunia kali ini. 

Featured Image: FIFA World Cup

komen