Gandingan Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong Raih 10 Kejuaraan Tahun 2022
December 12, 2022 Hafizuddin Omar

Beregu campuran China, Zheng Si Wei dan Huang Ya Qiong muncul sebagai pasangan yang merangkul kejuaraan paling banyak bagi tahun 2022 sekaligus menjadikan tahun paling gemilang dalam karier badminton mereka. 

Gandingan Si Wei-Ya Qiong mengesahkan merangkul sepuluh kejuaraan sepanjang tahun ini selepas berjaya menumpaskan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai dalam perlawanan akhir Jelajah Dunia Akhir BWF 2022, semalam.

Dalam pertarungan terbabit, pasangan yang berusia 25 dan 28 tahun masing-masing ini melakar kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-19, 18-21 dan 21-13 dalam tempoh sekitar satu jam permainan di atas gelanggang.

Untuk makluman, ini juga merupakan kejuaraan Jelajah Dunia Akhir BWF yang kedua dimenangi oleh gandingan campuran No.3 dunia ini selepas memenanginya buat kali pertama pada edisi 2019.

Sebelum ini, Si Wei-Ya Qiong telah berhasil merangkul sembilan kejuaraan yang terdiri daripada Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand, Indonesia Masters, Terbuka Indonesia, Terbuka Malaysia, Malaysia Masters, Kejohanan Dunia BWF, Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.

Sepuluh kejuaraan yang dirangkul sepanjang 2022 ini merupakan yang terbanyak pernah dicapai oleh Si Wei-Ya Qiong setakat ini.

Rekod kejuaraan ini mengatasi pencapaian direkodkan oleh mereka pada tahun 2018 lalu dengan merangkul sembilan kejuaraan yang terdiri daripada Indonesia Masters, Terbuka Malaysia, Kejohanan Dunia BWF, Sukan Asia, Terbuka Jepun, Terbuka China, Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka China Fuzhou.

Featured Image: Jerry Lee & Emman Flavier / Badminton Asia

Komen