Barisan kejurulatihan skuad berpangkalan di ibu kota, Kuala Lumpur City FC (KL City) mengalami sedikit perubahan menjelang saingan baharu pada tahun hadapan.
Seperti sedia maklum, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard telah mengesahkan Bojan Hodak, 51 tahun, dari Croatia kekal sebagai ketua jurulatih skuad berjulukan The City Boys, pada musim hadapan.
Namun begitu, penolong ketua jurulatihnya yang juga berusia 51 tahun serta dari Croatia, Nenad Bacina tidak lagi bersama KL City pada musim hadapan.
Perkembangan mengejutkan itu hadir selepas Nenad memuat naik satu hantaran di laman sosialnya mengumumkan perpisahan dengan KL City.
“Setiap kisah ada pengakhirannya yang tersendiri dan termasuk kisah dongeng yang hebat ini. Dua tahun pelbagai memori, saat gembira dan sedih serta pencapaian yang besar menuju ke pengakhirannya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan, para pegawai kejurulatihan, para pemain dan peminat untuk perjalanan luar biasa ini,” tulisnya dalam hantaran itu.
Untuk makluman, ini bukan sahaja menjadi perpisahan Nenad bersama KL City selepas dua tahun.
Ini juga menjadi penamat kerjasama antara Nenad dan Bojan selepas lapan tahun bersama.
Sebagai rekod, gandingan Bojan dan Nenad bermula dari tahun 2014 ketika di berkhidmat di Johor Darul Ta’zim (JDT).
Gandingan dua individu ini berterusan dengan disusuli penyertaan Bojan ke beberapa pasukan lain seperti Pulau Pinang, skuad Malaysia bawah 19 tahun dan PSM Makassar.
Dalam hantaran tersebut, Nenad tidak berkongsikan sebarang hala tujunya selepas mengumumkan meninggalkan skuad KL City ini.
Namun dengan Nenad memiliki lesen kejurulatihan Pro UEFA serta menjadi antara watak penting dalam membantu mengemudi KL City mara ke akhir Piala AFC 2022, tidak mustahil Nenad melebarkan kariernya dengan menjadi ketua jurulatih bagi mana-mana pasukan dalam saingan Liga Malaysia atau luar negara.
Featured Image: Kuala Lumpur City