Artikel

Kalamullah, Ifwat & Fikri Jadi Taruhan Kedah Di Posisi Penjaga Gol Musim 2023

Skuad berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Kedah Darul Aman FC (Kedah) telah melengkapkan kuota tiga penjaga golnya bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2023 kelak.

Selepas mengekalkan Ifwat Akmal Che Kassim, 26 tahun, dan mengikat penjaga gol skuad kebangsaan, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, 27 tahun, skuad berjulukan Sang Kenari ini melengkapkan trionya dengan kemasukan penjaga gol Kelantan United FC, Mohammad Fikri Che Soh.

Dimaklumkan, penjaga gol berusia 24 tahun, kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini diikat oleh Kedah dengan kontrak selama setahun dan bakal menyarung jersi Hijau Kuning dengan nombor 33.

Sebagai rekod, sepanjang beraksi bersama Kelantan United bermula tahun 2021, Fikri menjadi tunjang utama pasukan dengan merekodkan lebih daripada 30 penampilan buat skuad berjulukan The Green Deers ini.

Untuk makluman semua, Fikri menjadi pemain baharu yang ketiga dibawa menyertai Kedah di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Nafuzi Zain.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

komen