Piala AFF: FAM Umum Diskaun RM5 Untuk Tiket Kategori Terbuka
December 13, 2022 Hafizuddin Omar

Penetapan harga tiket bagi perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 bermula RM50 untuk kategori Terbuka menimbulkan keluh-kesah para penyokong skuad kebangsaan.

Selain itu, kategori Premium dan Grandstand pula diletakkan pada harga RM70 dan RM100 masing-masing. Rata-rata penyokong skuad berjulukan Harimau Malaya meluahkan pandangan di pelbagai platform laman sosial menyatakan harga yang ditetapkan itu sebagai mahal. 

Mendengar keluhan para penyokong skuad berjulukan Harimau Malaya ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan diskaun terhadap ketiga-tiga harga tiket terbabit sekaligus menyaksikan sedikit penurunan berbanding harga asal.

Diskaun yang diberikan adalah sebanyak RM30, RM10 dan RM5 untuk kategori Grandstand, Premium dan Terbuka masing-masing.

Ini menjadikan harga baharu bagi ketiga-tiga tiket itu adalah RM70, RM60 dan RM45 masing-masing. Sementara itu, tiket bagi kanak-kanak pula tidak mengalami perubahan dan kekal pada harga RM10. 

https://twitter.com/FAM_Malaysia/status/1602587221340860417?s=20&t=ul34OVkB0_-rD243z_HHMQ

Atas rasa prihatin dan selepas mengambil kira keluhan penyokong Harimau Malaya serta mendengar pandangan daripada banyak pihak, Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin telah mengarahkan Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM dipengerusikan oleh Naib Presiden FAM, Dato’ Posa Haji Majais untuk membincangkan perkara berkenaan.” kata Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman dalam kenyataan rasmi.

Bagi penyokong yang telah pun membeli tiket berkenaan pada harga asal, proses pemulangan (refund) untuk amaun yang berlebihan itu akan diuruskan oleh pihak Ticket Hotline.”

“Semoga penurunan harga tiket ini akan dapat mengurangkan sedikit beban para penyokong untuk ke stadium bagi menyaksikan kedua-dua perlawanan berkenaan.” tambahnya lagi.

Untuk makluman semua, Harimau Malaya yang diundi dalam Kumpulan B akan mengharungi dua perlawanan peringkat kumpulan di laman sendiri, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menentang Laos dan Singapura pada 24 Disember dan 3 Januari masing-masing.

Sebagai perbandingan, tiket bagi saingan peringkat kumpulan Piala AFF edisi 2018 yang lalu ditetapkan pada harga RM20 dan RM30 bagi kategori Terbuka dan Grandstand masing-masing.

Komen