Pengumuman penurunan harga tiket sebanyak RM5 bagi kategori Terbuka untuk dua perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 semalam nyata tidak memuaskan hati kebanyakan penyokong skuad kebangsaan.
Harga asal yang ditetapkan sepertimana dibincangkan dalam Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada awal November lalu adalah RM50. Bagi kategori Premium dan Grandstand pula harga yang ditetapkan adalah RM70 dan RM100 masing-masing.
Semalam, FAM mengumumkan harga baharu bagi kategori Terbuka adalah RM45 manakala Premium dan Granstand pula diturunkan kepada RM70 dan RM60 masing-masing.
Susulan dengan keluhan dan ketidakpuasan hati ramai lagi penyokong Harimau Malaya, Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin mengumumkan harga tiket kategori Terbuka diturunkan lagi menjadi RM30 sahaja, pada hari ini.
Bukan itu sahaja, harga tiket bagi kategori Premium dan Grandstand turut sama diturunkan lagi menjadi RM50 dan RM60 masing-masing. Tidak terkecuali, tiket bagi kategori kanak-kanak (usia 6 hingga 12 tahun) kini dijual pada harga RM5 sahaja.
FAM TURUN HARGA TIKET AFF KE RM30
▶️ Baca penuh kenyataan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin di https://t.co/lmJVjzBIzb#FAM #HarimauMalaya #AFFMitsubishiElectricCup2022 pic.twitter.com/Ps2VWgT5l9
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) December 14, 2022
“Untuk makluman semua, peningkatan harga tiket bagi edisi 2022 ini berbanding edisi 2018 terpaksa dibuat oleh FAM disebabkan peningkatan kos-kos berkaitan dalam tempoh empat tahun ini termasuk kos pengurusan dan penganjuran perlawanan.” jelasnya dalam satu kenyataan rasmi.
“Saya juga berprihatin dengan keadaan ekonomi semasa yang masih tidak stabil dan mengambil kira juga majoriti penyokong bola sepak adalah daripada golongan B40 yang mana pengurangan harga tiket kepada serendah RM30 ini diharap mampu menggalakkan lagi kehadiran penyokong ke stadium di sepanjang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.” tambahnya.
Bagaimanapun, Hamidin memaklumkan harga promosi kombo seperti yang pernah dibuat ketika kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun lalu tidak dapat dibuat kerana dua perlawanan peringkat yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kelak berjarak jauh iaitu berselang 10 hari.
Sebagai perbandingan, tiga perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 lalu berlangsung dalam masa 7 hari sahaja.
Sebagai tambahan, penyokong yang telah membeli tiket pada harga asal atau harga yang diturunkan semalam, proses pemulangan untuk amaun yang berlebihan itu akan diuruskan oleh pihak Tickethotline.
“Akhir kata, saya menjemput dan mengalu-alukan kehadiran lebih ramai penyokong Harimau Malaya untuk sama-sama membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 Disember ini bagi perlawanan menentang Laos dan pada 3 Januari depan bagi perlawanan menentang Singapura.”
“Semoga kehadiran lebih ramai penyokong ini akan dapat meningkatkan lagi prestasi, semangat dan persembahan barisan pemain Harimau Malaya.” ujarnya.
Featured Image: Football Association of Malaysia