Bekas Bek Kanan Melaka United, Wan Amirul Afiq Sertai Kedah – Kontrak 2 Tahun
December 14, 2022 Hafizuddin Omar

Kedah Darul Aman FC (Kedah) bimbingan ketua jurulatih baharu, Nafuzi Zain terus-menerus merekrut pemain baharu dengan giatnya sebelum mengharungi saingan Liga Malaysia 2023.

Terbaru, skuad berjulukan Sang Kenari ini memaklumkan mengikat khidmat bekas bek kanan Melaka United FC, Wan Amirul Afiq dengan kontrak selama dua tahun.

Selain itu, pemain berusia 30 tahun kelahiran Tumpat, Kelantan serta berketinggian 1.78 meter (m) ini diberikan jersi Hijau Kuning bernombor 18 untuk disarungnya dalam kempen Liga Malaysia kelak.

Makluman mengenai kehadiran Afiq ini dimaklumkan oleh pihak kelab secara rasmi menerusi pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.

Untuk makluman, Afiq yang terkenal dengan kemampuannya untuk melakukan hantaran lintang kepada rakan sepasukannya di dalam kotak penalti memulakan kariernya bersama Young Fighters FC – pasukan pelapis Felda United FC pada 2015 sebelum menyertai Melaka United tahun kemudiannya.

Selepas itu, Afiq berhijrah ke Felda United pada musim 2017 dan 2018 sebelum kembali semula bersama Melaka United pada tahun 2019.

Sepanjang bersama skuad berjulukan Hang Tuah itu, Afiq menjadi tunjang pasukan dan pilihan utama di bahagian pertahanan kanan dengan merekodkan lebih 70 penampilan terutamanya dalam saingan Liga Super serta kejohanan lain. 

Featured Image: Malaysian Football League

Komen