Adakah pemain-pemain yang membarisi kesebelasan utama menentang Maldives di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada malam ini merupakan bayangan kepada kesebelasan utama di saingan Piala AFF kelak?
Berhadapan dengan pasukan di ranking ke-154 dunia itu, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon hanya mengekalkan enam pemain sahaja yang bermula ketika menentang Kemboja pada Jumaat lalu.
Selebihnya Pan-gon melengkapkannya dengan Syihan Hazmi (penjaga gol), Dominic Tan, Safawi Rasid, Mukhairi Ajmal dan Brendan Gan.
Barisan pemain ini berhasil merekodkan kemenangan 3-0 ke atas ke atas Maldives yang mendapat bimbingan jurulatih dari Itali, Francesco Moriero.
Kemenangan itu berpunca daripada jaringan tunggal oleh penyerang berdarah kacukan England-Malaysia, Darren Lok pada babak pertama atau lebih spesifiknya pada minit 24’.
Keputusan Masa Penuh
Perlawanan Antarabangsa Tier 1 | Rabu, 14 Disember 2022
MALAYSIA 🇲🇾 3-0 🇲🇻 MALDIVES
⚽️ Darren Lok 24' Faisal Halim 64' Lee Tuck 88'#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/LH5D1QZ7s7
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) December 14, 2022
Ketika babak kedua, Malaysia yang berjulukan Harimau Malaya ini berhasil menggandakan jaringan menerusi Faisal Halim pada minit 64’.
Sekitar dua minit sebelum tamat 90 minit permainan, Lee Tuck berjaya meledak jaringan ketiga buat Malaysia selepas menerima suapan daripada Sergio Aguero.
Sepanjang babak kedua, Pan-gon turut membuat beberapa pertukaran. Antaranya memasukkan Lee Tuck, Nor Hakim Hassan, Aliff Haiqal Lokman, Stuart Wilkin, Quentin Cheng dan Sergio Aguero.
Pemain-pemain itu masuk menggantikan Safawi Rasid, Ruventhiran, Dominic Tan, Mukhairi Ajmal, Brendan Gan dan Darren Lok.
Dengan keadaan Maldives gagal mencari sebarang jaringan penyamaan, Malaysia berhasil menutup perlawanan dengan keputusan 3-0 sejurus pengadil perlawanan dari Thailand, Sivakorn Pu-Udom meniup wisel menamatkan permainan.
Featured Image: Syamil Rosli | PFA Malaysia