Piala Dunia: Juara Bertahan, Perancis Sekat Maghribi Ke Perlawanan Akhir
December 15, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan juara bertahan Piala Dunia, Perancis berhasil mara ke pentas akhir buat dua kali berturut-turut selepas berjaya menumpaskan Maghribi di peringkat separuh akhir.

Skuad berjulukan Les Bleus bimbingan Didier Deschamps merekodkan kemenangan 2-0 ke atas Maghribi dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Al-Bayt, sebentar tadi.

Kemenangan itu disumbangkan menerusi jaringan Theo Hernandez yang hadir seawal minit ke-5 serta Randal Kolo Muani pada minit ke-79. 

Tiada sebarang jaringan balas dicipta oleh Maghribi dan dua jaringan itu sekaligus menyekat perjalanan luar biasa skuad kendalian Walid Regragui di pentas Piala Dunia edisi kali ini. 

Sementara itu, Perancis yang melakar kemaraan akan bertemu wakil dari benua amerika selatan, Argentina pada perlawanan akhir untuk merebut trofi kejohanan bagi edisi kali ini.

Untuk makluman, Argentina mara selepas berhasil menumpaskan Croatia dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Featured Image: FIFA World Cup

Komen