JAKIM FC berjaya merangkul kejuaraan saingan divisyen lima, Liga Bola Sepak Putrajaya M5 anjuran Persatuan Bola Sepak Putrajaya sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM4,000 serta piala pusingan.
Kelab milik agensi pengurusan hal ehwal islam di peringkat kebangsaan ini dinobatkan juara selepas menamatkan saingan Liga Bola Sepak Putrajaya di tempat pertama selepas mengharungi 10 perlawanan.
Biarpun pada perlawanan terakhir pada Sabtu lalu bertemu EVO PM Tepi FC berakhir dengan keputusan 0-0 dan menjadikan kedua-dua pasukan ini berkongsi mata dalam carta liga, JAKIM FC dinobatkan juara atas faktor memiliki kelebihan 4 gol berbanding pencabarnya.
Menurut laman sosial rasmi agensi berkenaan, kejuaraan yang dirangkul ini melayakkan kelab yang diasaskan oleh Zamihan Mat Zin bersaing dalam saingan divisyen keempat bola sepak tempatan, Liga M4 pada musim hadapan di bawah kawal selia Amateur Football League (AFL).
Sebagai rekod, JAKIM FC turut mengambil bahagian dalam saingan Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2022 anjuran Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia yang berlangsung pada Oktober dan November lalu.
Bagaimanapun, JAKIM FC menamatkan kempen PERR di peringkat Kumpulan B sahaja.
Featured Image: Amateur Football League