Artikel

Piala AFF: Lee Tuck & Aguero Tersenarai, Cools Ada Urusan Peribadi

Skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya akan mengharungi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 dengan kehadiran pemain naturalisasi yang baharu iaitu Lee Tuck dan Sergio Aguero.

Perkembangan itu hadir selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai akhir 23 pemain yang dipilih ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon untuk dibawa menyertai kejohanan itu, pada hari ini.

Antara pemain lain yang tersenarai adalah seperti grafik yang dikongsikan oleh FAM di bawah:

Bagaimanapun, senarai itu menyaksikan pertahanan kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools tidak dapat turut serta.

Difahamkan, pertahanan berusia 26 tahun itu tidak dapat menyertai skuad kebangsaan pada kali ini atas urusan peribadi.

Selain Dion Cools, empat pemain yang mengikuti kem latihan pusat sejak 29 November lalu turut disisihkan oleh Pan-gon.

Empat pemain tersebut ialah Azri Ab Ghani (penjaga gol), Kogileswaran Raj, Ramadhan Saifullah dan Aliff Izwan.

Untuk makluman, skuad ini akan berlepas ke Yangon pada 19 Disember untuk berhadapan dengan Myanmar bagi perlawanan pertama peringkat Kumpulan B pada 21 Disember.

Featured Image: Syamil Rosli | PFA Malaysia

komen