Artikel

Bekas Ketua Jurulatih Melaka United Dilantik Kemudi Lion City Sailors

Jurulatih dari Bosnia & Herzegovina yang pernah mengemudi Melaka United FC, Risto Vidakovic kini diperkenalkan sebagai ketua jurulatih baharu bagi kelab gergasi dari negara sebarang tambak, Lion City Sailors FC.

Risto yang hanya sempat mengemudi Melaka United sebanyak empat perlawanan pada awal musim 2022 dan sekadar mengutip satu mata diumumkan menjadi ketua jurulatih baharu Lion City Sailors pada hari ini.

Pengumuman itu hadir menerusi makluman di laman sesawang rasminya serta pelbagai platform media sosialnya, sebentar tadi.

Jurulatih berusia 53 tahun dan memiliki lesen kejurulatihan UEFA Pro akan memulakan tugasnya bersama Lion City Sailors pada Januari kelak.

Bagaimanapun, tempoh kontraknya tidak diumumkan secara rasmi kepada umum oleh pihak kelab.

Sebagai rekod, selain Melaka United, Risto pernah membimbing beberapa pasukan lain seperti Borneo FC (Indonesia), Maziya (Maldives), Ceres-Negros (Filipina), FC Motagua (Honduras) serta beberapa pasukan di Sepanyol.

Untuk makluman semua, jodoh Risto bersama Melaka United hanya bertahan tidak sampai tiga bulan sebelum kedua-dua pihak mencapai keputusan untuk berpisah dengan persetujuan bersama.

Featured Image: Melaka United FC

komen