Artikel

Sabah Tidak Mahu Terburu-Buru Dapatkan Penyerang Import

Skuad berpangkalan di kepulauan Borneo, Sabah FC tidak mahu terburu-buru untuk mendapatkan penyerang import bagi mengharungi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC 2023.

Awal Disember lalu, skuad berjulukan The Rhinos ini bertindak melepaskan khidmat penyerang importnya, Jose Embalo yang menyertai Sabah pada pertengahan musim.

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menegaskan mahu mengambil pendekatan berhati-hati dalam mencari pemain yang akan mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Embalo itu.

Walaupun belum mengikat sebarang penyerang import, Sabah telah pun memuktamadkan kemasukan khidmat penyerang kacukan skuad kebangsaan, Darren Lok merangkap penjaring terbanyak tempatan bagi saingan Liga Super untuk memperkukuhkan barisan serangannya. 

“Sudah tentu, mana-mana pasukan inginkan penyerang berkaliber dalam pasukan tetapi musim lalu, semua orang boleh melihat kemampuan Sabah berada dalam kalangan empat pasukan teratas yang paling banyak menjaringkan gol.

“Bagaimanapun, bagi menghadapi musim baharu ini, kami sudah tentu mahu penyerang yang sempurna bagi menguatkan lagi aspek serangan namun saya tidak akan buat keputusan terburu-buru ekoran pintu pendaftaran masih berbaki dua bulan.

“Buat masa ini, kehadiran Darren sekurang-kurangnya sudah memberikan petanda yang positif kerana dia telah bergelar penjaring tempatan terbanyak Liga Super musim lalu dan diharapkan mampu meneruskan dengan apa yang dia lakukan sebelum ini,” katanya.

Sebagai rekod, Embalo hanya beraksi bersama Sabah sekitar enam bulan sahaja. Sepanjang tempoh itu, penyerang kelahiran Portugal yang memiliki pasport Guinea-Bissau sempat merekodkan 9 penampilan disamping menjaringkan satu gol.

Sebelum kedatangan Embalo, Sabah menggunakan khidmat penyerang import kelahiran Brazil, Neto Pessoa yang mana turut tidak memberikan impak yang memberansangkan buat Sabah.

Featured Image: Sabah Football Club

komen