Terbuka Malaysia: Zii Jia & Tze Yong Mungkin Bertembung Seawal Pusingan 16
December 21, 2022 Hafizuddin Omar

Dua perseorangan lelaki terbaik negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong berkemungkinan besar bertembung seawal Pusingan 16 di kejohanan Terbuka Malaysia 2023 – Jelajah Dunia Super 1000 BWF – yang berlangsung sekitar pertengahan bulan hadapan.

Pertembungan itu berkemungkinan besar berlaku selepas hasil undian pada hari semalam menyaksikan Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan kedua untuk menjuarai kejohanan ini diundi menentang wakil Jepun, Kodai Naraoka pada Pusingan 32.

Manakala Tze Yong yang kini menghuni ranking ke-28 dunia pula diundi menentang wakil Ireland, Nhat Nguyen pada pusingan yang sama.

Sekiranya kedua-dua wakil negara ini merekodkan kemenangan ke atas lawan masing-masing pada pertarungan Pusingan 32 ini, mereka akan bertembung sesama sendiri pada Pusingan 16.

Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua pemain negara ini belum pernah berentap menentang sesama sendiri dalam mana-mana kejohanan antarabangsa di bawah kawal-selia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sebagai tambahan, Zii Jia dan Tze Yong merupakan dua wakil tunggal negara dalam kategori perseorangan lelaki yang layak beraksi dan mengambil bahagian dalam kejohanan Terbuka Malaysia kali ini.

Featured Image: Badminton Asia & Badminton Association of Thailand

Komen