Penang FC Pinjam Rahmat Makasuf Untuk Hadapi Liga Malaysia 2023
December 21, 2022 Hafizuddin Omar

Penyerang sayap Terengganu FC, Rahmat Makasuf menjadi tambahan baharu kepada skuad Penang FC untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2023.

Dimaklumkan, skuad berjulukan The Black Panther mengikat pemain berusia 25 tahun itu secara pinjaman.

Sepanjang musim lalu, Rahmat berjaya tampil sebanyak dua kali sahaja bersama skuad utama Terengganu di bawah kendalian Nafuzi Zain.

Penampilan itu dibuat ketika turun menentang Selangor dan Petaling Jaya City FC (PJ City) dalam saingan Liga Super. Manakala tiada sebarang penampilan dilakukannya dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia.

Penghijrahan Rahmat ini seakan-akan memperlihatkan khidmatnya tidak berada dalam percaturan ketua jurulatih baharu Terengganu, Tomislav Steinbruckner pada musim hadapan.

Untuk rekod, ini merupakan julung kalinya dalam karier profesionalnya sejak tahun 2019 beraksi bersama pasukan selain daripada Terengganu.

Sebagai tambahan, Rahmat menjadi pemain kedua dari Terengganu yang diikat oleh Penang.  sebelum ini, Penang telah mendapatkan khidmat Nik Akif Syahiran yang dipercayai telah tamat kontraknya bersama Terengganu.

Featured Image: Penang FC

Komen