Piala AFF: Harimau Malaya Berpesta Gol Benam Laos Di SNBJ
December 24, 2022 Hafizuddin Omar

Skuad Harimau Malaya memulakan kempen peringkat Kumpulan B bagi saingan Piala AFF Mitisibishi Electric 2022 dengan merekodkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Myanmar.

Bagaimanapun, lain pula persembahannya pada perlawanan kedua yang berlangsung di laman sendiri, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ketika menentang Laos, hari ini.

Skuad bimbingan Kim Pan-gon bukan sahaja mengekalkan rententan kemenangan bahkan turut berpesta gol dengan melakar keputusan 5-0 ke atas skuad yang menghuni ranking ke-187 dunia itu.

Jaringan pertama Malaysia dibuka oleh pemain yang mengesahkan mendapat kerakyatan Malaysia pada 16 September lalu, Sergio Aguero pada babak pertama atau lebih spesifiknya, minit 29’. Permainan babak pertama berakhir dengan Malaysia mendahului 1-0.

Namun begitu, babak kedua Harimau Malaya bertambah ghairah menyerang dan pemain sedang berada di kemuncak prestasi, Faisal Halim berjaya menambah 2 gol menerusi tandukan pada minit 65’ dan 68’ permainan.

Tidak cukup dengan tiga jaringan itu, penyerang muda yang masuk sebagai pemain gantian dan berhasil mencipta debut bersama skuad Harimau Malaya, Muhammad Haqimi Azim menambahkan lagi luka buat Laos dengan merembat masuk bola ke dalam gawang melepasi penjaga gol lawan, pada minit 77’.

Kemudiannya, seorang lagi pemain gantian, Stuart Wilkin tidak ketinggalan untuk menambahkan garam ke atas luka itu apabila menjaringkan gol kelima perlawanan pada minit 87’.

Kedudukan 5-0 itu kekal sehingga pengadil perlawanan dari Arab Saudi, Majed Mohammed Alshamrani meniup wisel menamatkan permainan.

Dengan kemenangan ini, Malaysia berhasil mengumpul 6 mata daripada 2 perlawanan dan kini menghuni saingan Kumpulan B buat seketika. Perlawanan seterusnya, Malaysia akan bertemu Vietnam pada 27 Disember (Selasa) kelak di Hanoi.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen