Artikel

Ini Logo Melaka FC Yang Akan Beraksi Di Liga M3

Pertengahan November lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad mengumumkan Melaka Football Club (Melaka FC) menjadi nama dan identiti baharu yang akan mewakili Melaka dalam kancah bola sepak tempatan dengan menyertai Liga M3 2023.

Menerusi laman sosial rasmi milik kelab berkenaan, logo Melaka FC pula diperlihatkan kepada orang ramai pada hari ini.

Logo itu menampilkan motif pokok yang dipercayai pokok Melaka – sesuatu yang sinonim dengan negeri Melaka – berwarna hijau yang berlatarbelakangkan perisai bulat berwarna biru gelap.

Selain itu, ia diapit pula dengan tulisan “MELAKA” dan “FOOTBALL CLUB” berwarna putih di atas dan bawah perisai itu masing-masing dengan latar belakang berwarna merah.

Rekaan yang menempatkan tulisan terbabit mirip kepada logo sebuah kelab terkenal di Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Manchester United.

Setakat ini, Melaka FC belum memperkenalkan lagi barisan kejurulatihan dan para pemainnya untuk mengharungi saingan Liga M3 kelak.

Sebagai tambahan, pada pertengahan November lalu, Presiden MAFA turut berkongsikan pasukan baharu ini diletakkan sasaran untuk mendapat promosi ke saingan Liga Super 2024 kelak.

Featured Image: Melaka Football Club

komen