Penang Ikat Gomes & Adriano – Bekas Penyerang Import Melaka United
December 27, 2022 Hafizuddin Omar

Skuad berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Penang FC menambahkan sengat di bahagian serangan mereka dengan mengikat dua bekas pemain import dari Brazil yang pernah beraksi dengan Melaka United FC.

Dua pemain yang dimaksudkan itu ialah Giovane Gomes dan Adriano Narcizo yang berusia 27 dan 28 tahun masing-masing. Kehadiran dua pemain ini disahkan menerusi makluman di pelbagai platform media sosial milik skuad berjulukan Harimau Kumbang, baru-baru ini.

Bagaimanapun, tiada sebarang tempoh kontrak melibatkan kedua-dua pemain ini bersama Penang FC dikongsikan kepada umum.

Untuk makluman semua, kehadiran kedua-dua pemain ini ke dalam kancah bola sepak Malaysia bersama Melaka United bermula pada jendela perpindahan pertengahan musim 2021 atau lebih spesifiknya, penghujung Mei 2021.

Pada ketika itu, Adriano dan Gomes hadir bagi menggantikan Alex Goncalves dan Stefan Nikolic yang menampilkan persembahan kurang memuaskan pada mata pihak pengurusan.

Sebagai rekod, Gomes hanya sempat beraksi separuh musim sahaja bersama Melaka United sebelum diumumkan dilepaskan oleh pihak pengurusan pada awal Januari 2022.

Ekoran dilepaskan oleh Melaka United, Gomes kembali beraksi di negara kelahirannya.

Berbeza pula dengan Adriano, selepas tamat musim 2021, khidmatnya masih didambakan oleh Melaka United dan dia sempat beraksi bersama skuad berjulukan Hang Tuah itu sehingga ke penghujung musim 2022.

Featured Image: Melaka United FC

Komen