Ranking BWF: Fajar-Rian Rampas ‘Takhta’ Beregu Lelaki No.1 Dunia
December 27, 2022 Hafizuddin Omar

Beregu Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi dapat mempertahankan status selaku beregu lelaki No.1 dunia selama 14 minggu berturut-turut sahaja sebelum ‘takhta’ itu jatuh ke tangan pasangan lain.

Menerusi kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, status beregu lelaki No.1 dunia itu menjadi milik gandingan yang sedang meningkat naik dari negara jiran tetangga, Indonesia iaitu Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto.

Untuk makluman, ini merupakan kali pertama dalam karier pemain berusia 27 dan 26 tahun masing-masing ini menjejakkan kaki di ranking pertama dunia.

Faktor terbesar yang dapat dikesan menyumbang kepada Fajar-Rian menghuni ranking No.1 dunia ini adalah kejayaan mereka mara dalam lapan perlawanan akhir kejohanan Jelajah Dunia sepanjang 2022 ini.

Daripada lapan perlawanan terbabit, empat daripadanya berakhir dengan gelaran juara yang terdiri daripada kejohanan Terbuka Swiss (Super 300), Indonesia Masters (Super 750), Malaysia Masters (Super 500) dan Terbuka Denmark (Super 750).

Kesemua itu telah memberikan mata yang lumayan buat Fajar-Rian. Kini, mereka mengumpul 88,655 mata secara keseluruhan pada minggu terakhir bagi tahun 2022.

Sementara itu, gandingan Hoki-Kobayashi pula berada di tangga kedua dan diikuti dengan sepasang lagi beregu Indonesia, Hendra Setiawan dan Mohammad Ahsan di tempat ketiga.

Featured Image: Jerry Lee & Emman Flavier / Badminton Asia

Komen