Artikel

Nik Sharif Tinggalkan Selangor, Sertai Terengganu Dengan Kontrak 2 Tahun

Selepas 6 bulan beraksi bersama Terengganu FC secara pinjaman, pemain tengah, Nik Sharif Haseefy memuktamadkan jodohnya bersama pasukan berpangkalan di pantai timur itu dengan perpindahan secara tetap.

Perkembangan mengenai Nik Sharif menjadi milik mutlak skuad Hitam Putih bimbingan Tomislav Steinbruckner setelah pasukan itu mengumumkan secara rasmi menerusi pelbagai platform media sosialnya, hari ini.

Dalam pengumuman itu juga, Nik Sharif dimaklumkan akan menabur bakti bersama Terengganu sekurang-kurangnya sehingga tahun 2024 dimana dia diberikan kontrak selama dua tahun.

Untuk makluman semua, tempoh pinjamannya bersama Terengganu bermula penghujung Mei lalu telah memberikan ‘nyawa’ kedua bagi karier bola sepak pemain berusia 25 tahun ini.

Manakan tidaknya, perpindahannya ke Selangor daripada Pahang pada penghujung tahun 2020 tidak begitu bernasib baik buatnya kerana dihimpit dengan isu kecederaan sekaligus mengekang dirinya untuk mempamerkan kebolehan yang dimilikinya.

Ekoran itu, Nik Sharif membuat keputusan untuk berhijrah ke Terengganu di bawah kendalian Nafuzi Zain.

Bersama Terengganu, Nik Sharif perlahan-lahan mendapat kepercayaan daripada barisan kejurulatihan sebelum diberikan peluang untuk menjadi tonggak utama yang membolehkannya membantu Terengganu muncul naib juara Piala FA, Liga Super serta mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Berdasarkan statistik, pemain berketinggian 1.68 meter (m) ini merekodkan 25 penampilan, menjaringkan 3 gol serta menghasilkan 5 bantuan gol sepanjang beraksi sebagai pemain pinjaman di Terengganu.

Featured Image: Selangor FC

komen