Selepas 8 Musim Bersama JDT, Fadhli Shas Sertai Sri Pahang – Kontrak 2 Tahun
December 28, 2022 Hafizuddin Omar

Jodoh bekas bek tengah skuad kebangsaan, Fadhli Shas bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berlangsung selama lapan musim akhirnya menemui titik noktah.

Pertahanan berusia 31 tahun ini akan meneruskan karier bola sepaknya dengan menyertai skuad berpangkalan di pantai timur semenanjung, Sri Pahang FC dengan kontrak selama dua tahun.

Ini akan menjadikan pemain kelahiran Perak ini akan kekal menyarung jersi Kuning Biru sekurang-kurangnya sehingga penghujung tahun 2024.

Perkembangan itu hadir selepas pihak kelab terbabit mengumumkan perkara berkenaan secara rasmi di pelbagai platform media sosialnya, sebentar tadi.

Untuk makluman semua, Fadli Shas mula menyertai skuad Harimau Selatan bermula tahun 2014 dan menjadi antara pemain yang menyumbang pelbagai gelaran buat JDT seperti kejuaraan Liga Super dan Piala AFC.

Manakala pada tahun ini pula, Fadhli Shas dipinjamkan ke Melaka United FC selama semusim yang menyaksikannya sempat melakukan 17 penampilan.

Sebelum itu, dia memulakan karier dengan skuad projek Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Harimau Muda A.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen