Selepas dua tahun pandemik melanda dunia, tahun 2022 menyaksikan banyak negara semakin melonggarkan peraturan melibatkan Covid-19 sekaligus membolehkan pertandingan dan kejohanan sukan di peringkat antarabangsa kembali dijalankan dengan lebih meriah.
Ianya turut memperlihatkan penglibatan lebih ramai atlet dan skuad Malaysia di pertandingan dan kejohanan antarabangsa tersebut. Hasilnya, pelbagai berita suka dan duka melibatkan atlet-atlet negara dapat dilaporkan dan dirakamkan sepanjang tahun ini.
Sebelum beralih ke tahun 2023 dalam beberapa hari sahaja lagi, Sukanz melampirkan 10 berita mendukacitakan yang melanda atlet-atlet serta skuad Malaysia dalam arena sukan antarabangsa sepanjang tahun 2022:
#1 BAM Bertindak Hukum Lee Zii Jia & Goh Jin Wei Selama 2 Tahun
Arena sukan tempatan digegarkan dengan pengumuman oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang bertindak menghukum perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia dan bekas juara dunia remaja sebanyak dua kali, Goh Jin Wei.
Hukuman yang diberikan adalah tidak akan mendaftarkan kedua-dua pemain ini dalam mana-mana kejohanan antarabangsa yang memerlukan pendaftaran oleh pihak BAM. Ini secara tidak langsung mengekang Zii Jia dan Jin Wei daripada beraksi di kejohanan di bawah kawal-selia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Semuanya gara-gara kedua-dua pemain berusia 24 dan 22 tahun ini membuat keputusan untuk bergerak secara profesional atau bersendiri (independent) dan bukannya di bawah naungan BAM.
Bagaimanapun, selepas mendapat kritikan yang menggunung daripada peminat sukan tempatan serta perbincangan melibatkan pelbagai pihak, hukuman itu ditarik semula.
#2 Harimau Muda Kandas Di Peringkat Kumpulan Kejuaraan AFF B-23
Kejuaraan AFF Bawah 23 Tahun (B-23) yang dianjurkan di Kemboja bermula pertengahan Februari lalu merupakan edisi ketiga anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).
Skuad Harimau Muda yang ketika itu mendapat bimbingan Brad Maloney diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Laos, Myanmar dan Indonesia. Namun begitu, Myanmar dan Indonesia bertindak menarik diri ekoran beberapa pemainnya dijangkiti Covid-19 dan mengalami kecederaan.
Justeru, untuk mencari juara bagi Kumpulan B, Malaysia dan Laos akan berentap sebanyak dua kali. Situasi itu tidak digunakan sepenuhnya buat skuad Harimau Muda untuk mengumpul mata yang diperlukan bagi muncul juara kumpulan sebaliknya mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada Laos sekaligus terpaksa melupakan saingan peringkat kalah mati.
#3 Malaysia Gagal Lepasi Peringkat Kumpulan Kejuaraan AFF Futsal
Skuad futsal kebangsaan kendalian Chiew Chun Yong turut menerima nasib yang sama seperti skuad Harimau Muda ketika beraksi di Kejuaraan AFF Futsal pada April lalu.
Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama tuan rumah, Thailand, Indonesia, Kemboja dan Brunei. Hanya juara dan naib juara sahaja dapat mara ke peringkat kalah mati yakni separuh akhir.
Bagaimanapun, Malaysia hanya meraih kemenangan ke atas Kemboja dan Brunei sahaja dan tumpas kepada Indonesia dan Thailand. Situasi itu menyebabkan Malaysia mengumpul 6 mata sahaja dan menamatkan saingan peringkat Kumpulan B di tangga ketiga sekaligus terkandas.
Ini juga menyebabkan Malaysia terlepas peluang untuk merebut slot ke Piala Asia.
#4 Azeem ‘False Start’ Di Peringkat Saringan, Malaysia Gagal Pertahan Pingat Emas Acara 100m
Persembahan pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi di temasya Sukan SEA 2021 Hanoi sangat ditunggu-tunggu oleh para peminat dan pendokong sukan tanah air. Ini juga menjadi temasya sukan antarabangsa pertamanya di peringkat senior.
Bagaimanapun, penantian aksi pelari berusia 18 tahun kelahiran Perak ini mendukacitakan orang ramai apabila dikesan melakukan ‘false start’ seawal peringkat saringan dalam acara pecut 100 meter (m) sekaligus tersingkir.
Sementara itu, seorang lagi pelari negara, Muhammad Arsyad Md Saat yang berjaya melangkah ke pusingan akhir acara ini hanya menamatkan saingan di tempat keenam.
Perkara sekaligus menjadikan Malaysia gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam dua edisi terdahulu secara berturut-turut oleh Khairul Hafiz Jantan (Sukan SEA 2017) dan Haiqal Hanafi (Sukan SEA 2019).
#5 Skuad Berpasukan Lelaki Malaysia Terlepas Peluang Raih Pingat Emas Sukan SEA
Barisan pemain badminton pelapis yang dihantar untuk beraksi di temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi dalam acara berpasukan lelaki tumpas kepada Thailand pada perlawanan akhir.
Malaysia tumpas kepada Thailand dengan skor 3-0. Ianya berpunca daripada tiga kekalahan berturut-turut oleh Jacky Kok Jing Hong, gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Lee Shun Yang kepada Kunlavut Vitidsarn, gandingan Chaloempon Charoenkitamorn-Nantakarn Yordphaisong dan Khosit Phetpradab masing-masing.
#6 Sivasangari Kemalangan Jalan Raya, Terpaksa Lupakan Hasrat Beraksi di Sukan Komanwel
Sekitar sebulan sebelum berlangsungnya temasya Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, satu berita menggemparkan peminat dan pendokong sukan tempatan apabila pemain skuasy No.1 tanah air, Sivasangari Subramaniam terpaksa dimasukkan ke hospital kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya di Maju Expressway (MEX).
Dilaporkan, pemain berusia 24 tahun ini mengalami kecederaan yang serius selepas kenderaan yang dinaikinya melanggar lori di lebuh raya berkenaan. Namun begitu, dia sempat diselamatkan sebelum kenderaan dinaikinya itu terbakar.
Sivasangari yang ketika itu menghuni ranking ke-19 dunia bukan sahaja diletakkan sandaran untuk meraih pingat emas buat kontinjen Malaysia bahkan turut dinamakan sebagai pembawa Jalur Gemilang di temasya berkenaan.
#7 Kemarau 40 tahun kejohanan Hoki Piala Asia Berterusan
Skuad hoki lelaki kebangsaan bimbingan Arul Selvaraj kempunan untuk menempa sejarah dengan menjuarai kejohanan Hoki Piala Asia buat julung kalinya sejak ianya dipertandingkan buat pertama kali pada tahun 1982.
Semuanya gara-gara tumpas kepada skuad Korea dengan keputusan tipis 1-2 hasil jaringan Jung Man-jae dan Hwang Tae-il dalam perlawanan akhir kejohanan terbabit. Jaringan tunggal oleh skuad Speedy Tigers pula hadir menerusi Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan.
Gelaran naib juara diraih Malaysia ini menyamai pencapaian yang dilakukan pada edisi lalu. Sementara itu, bagi Korea pula, kejuaraan ini merupakan yang kelima pernah dijuarainya selepas edisi 1994, 1999, 2009 dan 2013.
#8 Nauraj Singh Layak Ke Kejohanan Olahraga Dunia Namun Terkandas Di Pusingan Kelayakan
Atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa berhasil melayakkan diri untuk beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia 2022 yang berlangsung di Oregon, Amerika Syarikat.
Atlet berusia 30 tahun ini layak secara merit selepas menempatkan dirinya dalam kelompok 32 atlet lompat tinggi terbaik dalam ranking dunia. Untuk rekod, ini merupakan penampilan kedua di pentas berkenaan selepas beraksi buat pertama kali pada Kejohanan Olahraga Dunia 2017 di London.
Bagaimanapun, persembahan Nauraj di kejohanan terbabit hanya setakat di pusingan kelayakan sahaja ekoran gagal merekodkan lompatan minimum setinggi 2.71 meter (m) dalam ketiga-tiga percubaannya.
#9 Pearly Tan Diusung Keluar Gelanggang, Terpaksa Berehat Panjang
Selepas membuat kejutan menumpaskan pilihan ketiga kejohanan, beregu Korea, Lee So-hee dan Shin Seun-chan di Pusingan 32 Terbuka Jepun, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan berhasil melangkah ke Pusingan 16. Menantinya di pusingan terbabit adalah sepasang lagi beregu Korea, Baek Ha-na dan Lee Yu-lim.
Segalanya berjalan dengan baik pada set pertama dimana Pearly-Thinaah berjaya memenanginya dengan skor 21-19. Ketika beraksi pada set kedua, Pearly mula merasa sakit di bahagian lututnya namun meneruskan perlawanannya dimana mereka tumpas 19-21 dan mengheret permainan ke set penentuan.
Akan tetapi, ketika di pertengahan set ketiga, Pearly beberapa kali menunduk tahan sakit sambil memegang lututnya sebelum membuat keputusan untuk menarik diri sekaligus memberikan kemenangan kepada pasangan Korea itu.
Pada saat itu, ramai menyangkakan Pearly mengalami kecederaan melibatkan anterior cruciate ligament (ACL) yang akan menyebabkan karier badmintonnya terjejas.
Setelah pulang ke tanah air dan menjalani imbasan magnetic resonance imaging (MRI), Pearly disahkan tidak mengalami kecederaan ACL. Sebaliknya, pemain berusia 22 tahun ini hanya mengalami kecederaan di bahagian hamstring dan tendon lutut. Walaubagaimanapun, kecederaan ini tetap membuatkannya terpaksa berehat antara 4 hingga 6 minggu.
#10 Tiada Wakil Negara Mara Ke Suku Akhir Kejohanan Dunia Remaja BWF
Satu kejutan besar berlaku di Kejohanan Dunia Remaja BWF pada tahun ini apabila tiada sebarang wakil negara berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir.
Ini gara-gara empat wakil terakhir negara yang beraksi di peringkat Pusingan 16 tumpas kepada lawan masing-masing.
Sebagai perbandingan, edisi lalu pada tahun 2019 menyaksikan sekurang-kurangnya empat wakil negara berjaya mara ke peringkat suku akhir.
Manakala kali terakhir Malaysia mempunyai wakil yang menjuarai kejohanan ini adalah pada edisi 2018 menerusi perseorangan wanita, Goh Jin Wei.