Dari Penyerang Kepada Bek Kanan – Tarik Perhatian Sabah FC Ikat Jafri Chew
December 28, 2022 Hafizuddin Omar

Perubahan posisi dari penyerang kepada pertahanan kanan ketika beraksi bersama Penang FC ternyata membawa tuah yang tersendiri kepada Muhammad Jafri Firdaus Chew.

Pemain berusia 25 tahun ini cukup dikenali dengan peranan selaku penyerang terutamanya ketika beraksi bersama skuad kebangsaan bawah 19 serta membantu skuad bawah 23 tahun ke final Sukan SEA 2017.

Namun begitu, persembahannya selaku bek kanan pada musim lalu telah menarik perhatian Sabah FC kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk mendapatkan khidmatnya bagi mengharungi saingan Liga Malaysia & Piala AFC musim hadapan.

Malahan, Jafri sendiri semakin selesa dan gemar bermain di posisi terbabit. Pada masa yang sama, Sabah juga mahu menggunakan khidmatnya dengan lebih banyak di posisi itu.

“Terus terang, saya tidak jangka cubaan pertama bermain selaku pertahanan kanan semasa bertemu JDT pada separuh akhir Piala FA mengubah karier saya.

“Ini satu cabaran baharu pergi ke Sabah dengan akan bermain posisi lain dan peluang untuk bermain di pentas Piala AFC, menjadikan saya teruja datang ke sini.

“Jurulatih telah berbincang tentang peranan saya di Sabah, yang mana beliau mahu banyak menggunakan saya di posisi pertahanan kanan.

“Namun dalam masa sama, meminta saya untuk sentiasa bersedia jika diperlukan di posisi lama iaitu selaku penyerang atau sayap jika keadaan memerlukan,” katanya yang turut tidak berfikir dua kali apabila menerima tawaran daripada skuad The Rhinos ini.

Di peringkat kelab, selepas memulakan karier yang baik bersama Pulau Pinang (2016-17) dan PKNS FC (2018-19), nasib tidak menyebelahi Jafri apabila khidmatnya tidak dimahukan oleh mana-mana kelab menjadikannya tidak beraksi selama satu musim pada tahun 2020.

Bagaimanapun, Jafri dapat kembali semula bersama Penang FC selama dua musim dari tahun 2021 hingga 2022. Sebagai rekod, Jafri merekodkan 17 penampilan sepanjang musim ini dengan 12 daripadanya bermula selaku kesebelasan utama.

Pada masa yang sama, kelibat Kim Swee turut menjadi faktor penyumbang kepada penghijrahannya. Jafri mengharapkan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu dapat menaikkan kembali kariernya sepertimana ketika di skuad Harimau Muda pada suatu masa dahulu.

Tambahanya, persembahan dua bekas tonggak Harimau Muda, Irfan Fazail dan Gary Steven Robbat bersama Sabah musim ini menjadi bukti sentuhan Kim Swee dalam memulihkan semula karier pemain.

“Semua orang tahu pengalaman beliau serta cara didikannya kepada pemain-pemain, jadi peluang bekerjasama dengan Kim Swee adalah sesuatu yang tidak boleh dilepaskan.

“Saya harap bersama beliau, tahap keyakinan serta karier saya sebagai pemain bola sepak profesional akan kembali meningkat sama seperti dahulu,” ujarnya lagi.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen