Izham Tarmizi, Azrif Nasrulhaq Sertai Sri Pahang Secara Pinjaman Selama Semusim
December 29, 2022 Hafizuddin Omar

Selepas mendapatkan dua pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), pasukan berpangkalan di pantai timur, Sri Pahang FC turut mengikat dua orang lagi pemain daripada kelab yang sama iaitu penjaga gol dan bek kanan.

Dua individu yang menyertai skuad berjulukan Tok Gajah itu ialah Izham Tarmizi dan Azrif Nasrulhaq yang berusia 31 tahun masing-masing.

Kemasukan kedua-dua pemain itu diumumkan secara rasmi menerusi pelbagai platform media sosial milik kelab berkenaan, pada hari ini.

Dimaklumkan, Izham serta Azrif menyertai Sri Pahang dengan kontrak pinjaman selama setahun.

Bagi Izham, ruang untuk penjaga gol kelahiran negeri Terengganu ini merebut posisi No.1 dalam skuad Tok Gajah dilihat sedang terbuka luas pada saat ini.

Ianya berikutan Sri Pahang bertindak tidak menyambung kontrak dan melepaskan penjaga gol utamanya, Mamadou Samassa baru-baru ini.

Semalam, Sri Pahang telah mengumumkan mengikat khidmat pertahanan tengah, Fadhli Shas secara tetap dengan kontrak selama dua tahun dan pertahanan kiri, Syazwan Andik secara pinjaman selama setahun daripada JDT.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen