Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tampil mengumumkan senarai 20 pemain yang terpilih untuk membarisi skuad kebangsaan bagi menghadapi Kejohanan Hoki Piala Dunia Lelaki FIH 2023 Bhubaneswar – Rourkela, India bermula 13 hingga 29 Januari kelak, pada hari ini.
Pengumuman terbabit dibuat oleh Pengurus Pasukan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan merangkap Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato’ Mirnawan Nawawi dalam satu sidang media di Pejabat KHM.
Senarai itu dimulai dengan dua penjaga gol iaitu Muhammad Hafizuddin Othman dan Adrian Andy Albert.
Seterusnya, senarai itu diisi pula dengan enam pertahanan yang terdiri daripada Muhammad Razie Abd Rahim, Muhammad Marhan Mohd Jalil, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, Zulpidaus Mizun, Muhammad Aminuddin Mohd Zain dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar.
Manakala, untuk posisi pemain tengah pula, seramai lima pemain terpilih iaitu Meor Muhammad Azuan Hassan, Faiz Helmi Jali, Muhammad Firhan Ashaari, Mohamad Ashran Hamsani dan Muhammad Najib Abu Hassan.
The Hockey World Cup … here are the lads who will be in Malaysian colours for the FIH Odisha Men's Hockey Worls Cup 2023 in India #MalaysianHockeyConfederation #WorldCup2023 #MalaysianTigers #MalaysianHockey pic.twitter.com/OpuIadtIzj
— MHC (@hockeymalaysia) December 29, 2022
Akhir sekali, Faizal Saari, Muhammad Shahril Saabah, Norsyafiq Sumantri, Muhamad Ramadan Rosli dan Shello Silverius melengkapkan senarai itu selaku penyerang bagi skuad berjulukan Speedy Tigers ini.
Pada masa yang sama, Mirnawan yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan turut mengumumkan Tengku Nasrul Ikmal Hakimie Tengku Abd Rahim dan Shahmie Irfan Suhaimi yang merupakan penyerang sebagai pemain simpanan yang sedia untuk menggantikan mana-mana pemain di atas sekiranya diperlukan.
Pada masa yang sama, ketua jurulatih, Arul Selvaraj turut memaklumkan Malaysia akan turun menentang Sepanyol pada 11 Januari sebagai aksi pemanas badan sebelum mengharungi kejohanan terbabit.
Bagaimanapun, pihaknya belum menentukan samada untuk turun beraksi secara perlawanan penuh (60 minit) atau bermain tiga suku sahaja (45 minit) pada perlawanan tersebut.
Untuk makluman semua, hasil undian yang telah keluar pada September lalu menyaksikan Malaysia diletakkan dalam Pool C bersama-sama Belanda, New Zealand dan Chile.
Sebagai tambahan, Malaysia berjaya layak ke saingan Piala Dunia ini selepas mara ke peringkat separuh akhir Piala Asia 2022, pada Mei lalu.
Featured Image: Malaysian Hockey Confederation