Pemain tengah yang bakal menginjak usia 28 tahun, Nor Azam Azih nampaknya akan terus menabur bakti bersama kelab yang berpangkalan di negeri kelahirannya, Sri Pahang FC.
Perkembangan mengenai pengekalan pemain kelahiran Maran, Pahang bersama skuad berjulukan Tok Gajah itu hadir selepas kelabnya memaklumkan Azam telah menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun.
Nor Azam kekal Tok Gajah!
Tonggak tengah kelahiran Maran ini telah menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun untuk kekal bersama Sri Pahang. pic.twitter.com/7ZUQRew8l4
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) December 30, 2022
Ini secara langsung akan menyaksikan Azam kekal menyarung jersi Kuning Biru dan beraksi di Stadium Darul Makmur sekurang-kurangnya sehingga tahun 2024 kelak.
Untuk makluman, musim hadapan bakal menjadi musim kesembilan Azam bersama Sri Pahang. Sebagai rekod, Azam mula menyertai pasukan ini pada tahun 2015 selepas berhijrah daripada skuad Harimau Muda B.
Rekod itu menjadikan Azam sebagai pemain paling lama bersama Sri Pahang di dalam skuad pada ketika ini.
Featured Image: Sri Pahang FC