Kapten Myanmar, Zaw Min Tun Pemain Import Keenam Diikat Penang FC
December 30, 2022 Hafizuddin Omar

Skuad berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Penang FC menjadi antara pasukan yang sibuk pada jendela perpindahan kali ini dengan mengikat beberapa pemain baharu samada import mahupun tempatan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2023 kelak.

Terbaru, skuad berjulukan Harimau Kumbang ini mengumumkan secara rasmi mendapatkan khidmat kapten skuad kebangsaan Myanmar, Zaw Min Tun pada hari ini.

Untuk makluman, Zaw merupakan pemain import baharu yang keenam telah ditandatangani dan diikat oleh Penang pada jendela perpindahan kali ini.

Bagaimanapun, tempoh kontrak pertahanan tengah berusia 30 tahun dan mempunyai ketinggian 1.85 meter (m) ini tidak didedahkan kepada umum oleh pihak kelab dalam pengumumannya itu.

Sepanjang empat musim lalu, karier Zaw banyak bertumpu di Thailand. Antara pasukan yang disertainya di sana ialah Chonburi FC, Sukhothai FC, Trat FC sebelum kembali semula bersama Chonburi FC.

Sebagai rekod, sebelum ini Penang telah mengikat lima pemain import baharu yang terdiri daripada Adriano Narcizo, Giovane Gomes (Brazil), Soony Saad (Lubnan), Curt Dizon (Filipina) dan Ryu Yamaguchi (Jepun).

Manakala bagi pemain tempatan pula, seramai 12 muka baharu telah diperkenalkan oleh skuad Harimau Kumbang iaitu Asnan Ahmad, Hadin Azman, Namathevan Arunasalam, Rahmat Makasuf, Mohamad Amer Azahar, Mohd Faris Shah Mohd Rosli, Muhammad Nur Izzat Che Awang, Nik Akif Syahiran, Marcus Mah Sang, Danish Haziq, Azfar Arif dan Azmeer Aris.

Featured Image: Myanmar Football Federation

Komen