Artikel

Terengganu Ikat Finalis Inter-zonal Piala AFC, Sardor Kulmatov

Skuad berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air, Terengganu FC memperkukuhkan barisan pertahanannya dengan mengikat khidmat finalis Inter-zonal Piala AFC 2022, Sardor Kulmatov.

Pertahanan kelahiran Uzbekistan yang berusia 28 tahun ini diumumkan menyertai Terengganu secara rasmi menerusi pelbagai platform media sosial miliknya, semalam.

Bagaimanapun, tempoh kontrak yang ditandatangani oleh pemain yang diletakkan nilai sekitar RM1.4 juta oleh portal Transfermarkt bersama Terengganu ini tidak didedahkan kepada umum.

Namun, pihak kelab mendedahkan Sardov diberikan jersi bernombor 3 untuk disarungnya sepanjang beraksi bersama Terengganu.

Untuk pengetahuan semua, Sardov merupakan tonggak utama bekas pasukannya, PFC Sogdiana Jizzakh. Dia juga antara pemain kesebelasan utama yang turun ketika berhadapan wakil Malaysia, Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam perlawanan akhir Inter-zone Piala AFC musim lalu.

Sebagai tambahan, kehadirannya ke skuad kendalian Tomislav Steinbruckner ini secara langsung menggantikan kekosongan pertahanan tengah import musim lalu yang tidak disambung kontraknya, Pape Diakite.

Besar kemungkinan, Sardov akan menjadi gandingan utama bersama pertahanan tempatan, Shahrul Nizam dalam menghadapi saingan Liga Malaysia 2023 serta Piala AFC 2023-24 kelak.

Featured Image: AFC Cup

komen