Norshahrul Idlan Talaha Sertai Kelab Liga M3, Harini FT
January 3, 2023 Hafizuddin Omar

Pasukan yang beraksi dalam divisyen ketiga bola sepak tanah air, Liga M3 iaitu Harini FT menjadi destinasi buat penyerang veteran skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha untuk meneruskan kariernya.

Pemain berusia 36 tahun itu menjadi milik Harini FT selepas kelab berkenaan memaklumkan kemasukannya menerusi pelbagai platform media sosialnya, semalam.

Sebagai rekod, musim lalu, pemain kelahiran Besut, Terengganu ini beraksi bersama Melaka United FC. Bersama kelab berkenaan, pemain yang turut terkenal dengan nama panggilan Matyo ini sempat membuat 15 penampilan dalam kesemua pertandingan.

View this post on Instagram

A post shared by HARINI FOOTBALL TEAM (@harini_football_team)

Menariknya, selain Matyo, Harini FT turut mendapatkan beberapa khidmat pemain-pemain Liga Super musim lalu seperti K. Reuben, Tamilmaran, Kugan dan Prabakaran.

Sementara itu, ketua jurulatihnya pula adalah bekas pengendali Petaling Jaya City FC (PJ City) iaitu P. Maniam.

Untuk makluman semua, Harini FT merupakan salah satu daripada 14 pasukan yang telah disahkan oleh penganjur, Amateur Football League (AFL) menyertai saingan Liga M3 pada musim ini.

Antara pencabar Harini FC dalam saingan ini ialah Armed Forces FC, Bukit Tambun FC, Imigresen FC, Kinabalu Jaguar FC, Kuala Kangsar BRM FC, Kuala Lumpur Rovers, Malaysia University, Manjung City FC, Naga Ultimate KS FC, Perlis United FC, PIB Shah Alam FC, Sarawak United FC dan Melaka FC.

Selain itu, saingan Liga M3 yang akan bermula pada pertengahan Februari kelak telah diangkat menjadi saingan “semi-pro’’ selain dijalankan dengan format ‘’double round-robin’’ atau secara liga dua pusingan bagi merebut kejuaraan.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen