Pemain yang pernah mengetuai jentera skuad kebangsaan, Shahrel Fikri Mohd Fauzi mengesahkan dirinya telah menyertai kelab baharu iaitu Negeri Sembilan FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2023 kelak.
Pengesahan itu hadir menerusi tuan empunya badan sendiri sepertimana dilaporkan oleh portal akbar tempatan, Berita Harian, semalam.
Turut dilaporkan, penyerang berusia 28 tahun ini menyertai skuad berjulukan Hoben Jang Hoben bimbingan K. Devan itu dengan kontrak selama semusim.
Mengulas mengenai keputusannya untuk menyertai Negeri Sembilan, pemain yang mesra dengan panggilan Eky ini berkata kekuatan dan reputasi besar kelab ini menjadi faktor terbabit.
“Negeri Sembilan adalah pasukan yang memiliki reputasi besar dalam Liga Malaysia apabila berjaya menamatkan saingan Liga Super musim 2022 di tempat keempat.”
“Pencapaian mereka itu mendorong saya memilih pasukan ini dan berharap dapat menimba pengalaman serta bimbingan yang lebih sempurna dalam usaha meningkatkan lagi tahap prestasi saya.’’
“Saya yakin dan percaya, dengan kerjasama rakan-rakan lain yang lebih berpengalaman dalam pasukan ini seperti Mohamad Zaquan Adha (Abd Radzak) dan Mahali Jasuli selain Sean Eugene Selvaraj, memberi peluang saya untuk maju ke hadapan,’’ jelasnya seperti dipetik daripada laporan terbabit.
Shahrel turut mengharapkan dapat meraih minit permainan yang lebih baik bersama Negeri Sembilan pada musim hadapan sekaligus berpeluang untuk mendapat panggilan semula ke skuad kebangsaan.
Sebagai rekod, Shahrel menyertai Selangor FC pada penghujung tahun 2020 selepas mengharungi musim yang cemerlang bersama Perak FC.
Namun penghijrahannya ke skuad Gergasi Merah itu tidak begitu memberangsangkan lebih-lebih selepas mendapat kecederaan retak tulang fibula yang memaksanya berehat panjang bermula pertengahan 2021.
Pada musim 2022 pula, Shahrel berhasil meraih 19 penampilan. Akan tetapi, penglibatannya lebih banyak bertumpu sebagai pemain gantian.
Featured Image: Football Association of Malaysia