Artikel

Perak Ambil Khidmat Penyerang Nigeria Tinggi 1.92m – Christian Obiozor

Pemain kelahiran Nigeria yang mempunyai fizikal tinggi lampai, Christian Obiozor menjadi salah satu pemain import yang diambil oleh Perak FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2023.

Penyertaan penyerang berketinggian 1.92 meter (m) itu diumumkan secara rasmi menerusi satu video berdurasi seminit dan 19 saat di Youtube milik kelab berkenaan, pada hari ini.

Bagaimanapun, Perak yang dimiliki oleh syarikat telekomunikasi, XOX Berhad tidak berkongsikan mengenai tempoh kontraknya kepada pihak umum.

Sebagai rekod, ini merupakan kali pertama Obiozor menyertai sebuah kelab yang berpangkalan di rantau asia tenggara.

Di awal kariernya, penyerang berusia 28 tahun ini banyak beraksi bersama kelab di negara kelahirannya. 

Selepas itu, Obiozor mula berkelana ke luar negara dengan menyertai beberapa kelab seperti Orlando Pirates (Afrika Selatan), Stade Gabesian (Tunisia), Al-Hussein SC (Jordan), Shahab Al-Sahel dan Tadamon Sour (Lubnan).

Featured Image: Instagram Christian Obiozor

komen