Pasukan berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air, Kelantan United FC tampil dengan satu logo baharu sebelum bermulanya saingan Liga Malaysia 2023.
Perkembangan itu hadir menerusi satu video berdurasi 41 saat yang dikongsikan di platform media sosialnya, pada hari ini.
Melalui video itu, skuad berjulukan The Green Deer ini tampil dengan logo berbentuk perisai yang memaparkan kijang serta sebiji bola sepak berwarna emas di bahagian kanan atas.
Di bahagian bawah pula dipaparkan singkatan kepada Kelantan United Football Club iaitu “KUFC” serta tahun ianya dijenamakan kepada KUFC.
Bercakap mengenai warna, ianya tampil dengan warna tradisinya iaitu merah dan hijau.
Difahamkan, logo baharu ini akan digunakan pada jersi saingan Liga Malaysia 2023 serta semua barangan rasmi atau cenderamata di bawah jenama KUFC.
Untuk pengetahuan semua, sebelum ianya dijenamakan kepada KUFC, kelab ini menggunakan nama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam Urusetia Belia dan Sukan Negeri Kelantan atau nama singkatannya, MPKB-BRI Ubes FC.
Sebagai tambahan, bermula penghujung tahun lalu, pasukan yang beraksi menggunakan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sebagai laman rasminya (home) diterajui oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong, YB Rozi Muhamad selaku presiden.
Manakala skuad utamanya dibimbing oleh jurulatih dari Republik Czech, Tomas Trucha.