Pasukan bola sepak kebangsaan berhasil melakar kemenangan dalam perlawanan akhir peringkat Kumpulan B bagi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 dengan menumpaskan negara jiran tetangga, Singapura.
Skuad berjulukan Harimau Malaya melakar kemenangan tersebut dengan keputusan 4-1 ketika turun melayan kunjungan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), hari ini.
Satu jaringan masing-masing daripada penyerang, Darren Lok dan Sergio Aguero serta jaringan berganda daripada pemain tengah, Stuart Wilkin memastikan Harimau Malaya merekodkan kemenangan dengan keputusan tersebut.
Sementara itu, jaringan tunggal saguhati Singapura pula dihasilkan oleh Faris Ramli pada penghujung perlawanan.
Pada masa yang sama, kemenangan itu membolehkan Harimau Malaya mengutip tiga mata penuh sekaligus mengumpul sembilan mata daripada empat perlawanan peringkat kumpulan.
Kutipan mata itu meletakkan Harimau Malaya selaku naib juara Kumpulan B sementara juara kumpulan menjadi milik Vietnam setelah memungut sepuluh mata.
Vietnam mengesahkan status juara Kumpulan B setelah menumpaskan Myanmar dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang turut berlangsung sebentar tadi.
Dengan menamatkan saingan peringkat kumpulan selaku naib juara, Harimau Malaya akan berhadapan dengan juara Kumpulan A merangkap juara bertahan, Thailand di peringkat separuh akhir.
Saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik iaitu pada 7 dan 10 Januari di halaman sendiri terlebih dahulu sebelum bertandang ke laman lawan pada perlawanan berikutnya.
Featured Image: Football Association of Malaysia