Artikel

Buriram United Perkenalkan Dion Cools Sebagai Pemain Baharu

Pertahanan kacukan skuad kebangsaan berdarah Belgium-Malaysia, Dion Cools secara rasminya menyertai kelab gergasi Liga Thailand, Buriram United.

Penyertaan pemain berusia 26 tahun bersama pasukan berjulukan “Thunder Castle” itu diumumkan secara rasmi menerusi pelbagai platform media sosial milik kelab berkenaan kira-kira lima jam selepas FK Jablonec mengucapkan selamat maju jaya kepada Cools.

Berdasarkan foto yang dikongsikan oleh Buriram United, Cools diberikan jersi bernombor 11 sepanjang beraksi dengan kelab berkenaan.

Bagaimanapun, tiada sebarang makluman mengenai tempoh kontrak yang ditandatangani Cools bersama Buriram United didedahkan kepada umum setakat ini.

Buriram United menyatakan Cools yang boleh beraksi di pelbagai posisi seperti sayap kanan, bek kanan dan bek tengah mengisi slot pemain import kuota ASEAN bagi memperkukuhkan pasukan dan memberikan kepelbagaian kepada corak permainannya di bahagian kanan.

Untuk makluman semua, pada saat ini, Buriram United merupakan pendahulu Liga 1 Thai dengan mengutip 39 mata selepas mengharungi 15 perlawanan. Mengikuti mereka di tangga kedua ialah Chonburi FC dengan pungutan 30 mata.

Featured Image: Buriram United

komen