Sri Pahang Rekrut Aqil Arazi – Bekas Pemain Remaja Kelab Perancis
January 4, 2023 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air, Sri Pahang FC terus memperkukuhkan skuadnya bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2023 yang akan bermula penghujung Februari kelak.

Terbaru, skuad berjulukan Tok Gajah ini mengumumkan mengikat khidmat Aqil Arazi – pemain muda yang pernah beraksi bersama antara kelab terkemuka yang berpangkalan di Perancis, AS Cannes pada tahun 2020.

“Kami berbesar hati mengumumkan bintang muda berusia 20 tahun, Aqil Arazi telah menandatangani kontrak bersama Sri Pahang.” tulis kenyataan rasmi kelab itu tanpa mendedahkan tempoh kontrak yang mengikat kedua-dua pihak, semalam.

Baca: 5 Perkara Menarik Mengenai Aqil Arazi, Remaja Malaysia di AS Cannes

Untuk makluman semua, Aqil yang merupakan kelahiran Kuala Lumpur merupakan pemain yang versatil di bahagian serangan dengan berkemampuan untuk beraksi sebagai penyerang, penyerang sayap serta pemain tengah menyerang (attacking midfielder).

Sebagai rekod, kelab terakhir yang disertai oleh Aqil sebelum kembali semula ke Malaysia dengan menyertai Sri Pahang ialah Karagumruk SK yang berpangkalan di Turki. Kelab ini disertainya sekitar pertengahan tahun lalu.

Sebagai tambahan, Sri Pahang turut mengumumkan menandatangani khidmat seorang lagi pemain muda yang berusia 20 tahun, Lokman Bah Din. Pemain ini merupakan anak jati negeri Pahang dan merupakan pemain Skuad Projek FAM-MSN pada musim lalu.

Featured Image: Instagram Aqil Arazi

Komen