Juara Dunia Empat Kali, Itali Tampil Logo Baharu – Lebih Ringkas & Kemas
January 4, 2023 Hafizuddin Omar

Pasukan yang pernah menjuarai Piala Dunia sebanyak empat kali, Itali menampilkan logo baharu yang tampak lebih ringkas dan kemas buat skuad bola sepak kebangsaannya.

Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) mempersembahkan logo baharu itu menerusi satu video 3-dimensi (3-D) berdurasi 45 saat di pelbagai platform media sosialnya.

Logo baharu skuad berjulukan Azzurri ini masih menggunakan rekaan berbentuk perisai dengan disematkan empat bintang di atasnya yang melambangkan kejuaraan Piala Dunia yang dirangkul sebanyak empat kali.

Kemudiannya, perisai itu dihiasi dengan tiga warna tradisi hijau, putih dan merah yang juga melambangkan benderanya serta tulisan “ITALIA”  dan “FIGC”.

Berdasarkan pengamatan, perbezaan ketara antara logo baharu dan lama yang dilancarkan pada tahun 2017 hanya tertumpu kepada perubahan bentuk perisai serta tiga garisan yang membaluti tulisan “FIGC” dihilangkan.

Difahamkan, penggunaan logo baharu ini akan mula kelihatan pada jersi skuad kebangsaan Itali ketika beraksi di perlawanan akhir Liga Negara-Negara UEFA pada Jun kelak serta kelayakan EURO 2024 yang akan bermula pada Mac nanti.

Komen