Artikel

FAM: Hanya 59,000 Keping Tiket Dijual, Harga RM30 Kekal Untuk Semi-Final Lawan Thailand

Badan induk bola sepak tanah air, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk mengekalkan harga tiket bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 yang melibatkan Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 7 Januari (Sabtu) kelak sama seperti harga pada peringkat kumpulan.

Ini menjadikan harga tiket bagi perlawanan itu ditetapkan pada RM30, RM50 dan RM60 bagi kategori Terbuka, Premium dan Grandstand masing-masing. Manakala tiket bagi kanak-kanak (6 hingga 12 tahun) pula kekal pada harga RM5.

Dimaklumkan, keputusan ini dibuat secara sebulat suara selepas Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin mempengerusikan mesyuarat khas bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM di stadium sejurus selepas perlawanan menentang Singapura, malam tadi.

Ia sebagai tanda penghargaan kepada penyokong skuad Harimau Malaya yang telah memberikan sokongan padu kepada pasukan sepanjang kempen Piala AFF 2022 setakat ini.

Sebelum ini, FAM menetapkan tiket pada peringkat separuh akhir akan dijual pada harga RM50, RM80 dan RM120 bagi kategori Terbuka, Premium dan Grandstand masing-masing.

Untuk makluman semua, tiket bagi perlawanan menentang juara bertahan merangkap juara Kumpulan A itu akan mula dijual di laman sesawang www.tickethotline.com bermula jam 3 petang, hari ini.

Bagaimanapun, FAM memaklumkan hanya 59,000 keping tiket sahaja akan dijual pada perlawanan ini memandangkan sebanyak 21,000 tempat duduk terpaksa dikosongkan kerana dihalang struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

Situasi ini tidak dapat dielakkan dimana FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik dalam memastikan aksi skuad Harimau Malaya di sepanjang kempen Piala AFF 2022 ini tetap dapat dilangsungkan di SNBJ berbanding ianya diadakan di stadium lain yang berkapasiti lebih kecil.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen