Artikel

Diogo Luis Santo Diberikan Nombor 11 Peninggalan Safawi Rasid

Kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali mengikat khidmat penyerang kelahiran Brazil, Diogo Luis Santo – pemain yang pernah beraksi bersamanya pada musim 2019 dan 2020.

Kemasukan semula penyerang yang berusia 35 tahun bersama skuad berjulukan Harimau Selatan ini disahkan menerusi satu video berdurasi 51 saat yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, hari ini.

Pengesahan itu hadir sekitar dua bulan selepas Diogo mencapai persetujuan bersama untuk berpisah dengan kelab sebelumnya di Thailand, BG Pathum United. 

Melalui video itu juga, Diogo didedahkan akan menyarung jersi bernombor 11 bersama JDT bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC kelak.

Nombor 11 itu dikosongkan setelah pemakainya pada musim 2022 iaitu Safawi Rasid akan meninggalkan JDT bagi menyertai kelab Thailand, Ratchaburi FC.

Sebagai rekod, tempoh pertamanya bersama JDT menyaksikan Diogo berhasil meledak 18 gol serta mencetak 12 ‘assist’ hasil daripada 37 penampilannya dalam saingan Liga Super dan Liga Juara-Juara AFC pada musim 2019 dan 2020.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

komen