Manuel Hidalgo Tinggalkan Sri Pahang, Sertai Kedah Kendalian Nafuzi Zain
January 5, 2023 Hafizuddin Omar

Jodoh pemain tengah menyerang (attacking midfielder) kelahiran Argentina, Manuel Hidalgo bersama Sri Pahang FC nampaknya hanya bertahan setakat satu musim dan setengah sahaja.

Pemain yang amat mengagumi mendiang Diego Maradona ini mengejutkan para peminat bola sepak tempatan apabila diumumkan menyertai skuad berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Kedah Darul Aman FC (Kedah) kendalian Nafuzi Zain, pada hari ini.

“Selamat datang Manuel Hidalgo.” tulis kenyataan rasmi kelab menerusi pelbagai platform media sosialnya.

Pemain yang tidak asing dalam saingan Liga Malaysia kini bersama Sang Kenari. Manuel Hidalgo pemain yang mempunyai susuk tubuh kecil tetapi mampu memberi masalah pada pertahanan pasukan lawan.” tambah kenyataan itu lagi.

Dimaklumkan, pemain berusia 23 tahun mengekalkan nombor yang dipakainya ketika beraksi bersama Sri Pahang iaitu No.88 untuk disarungnya bersama Kedah bagi mengharungi saingan musim ini.

Dengan kemasukannya ke dalam skuad Hijau Kuning pada jendela perpindahan kali ini, Hidalgo dijangka menjadi taruhan utama buat Nafuzi untuk membentuk trio bahagian tengah bersama-sama Manuel Ott dan Amirbek Juraboev.

Untuk pengetahuan semua, Hidalgo mula beraksi dalam kancah bola sepak Malaysia sekitar Mei 2021 apabila ditandatangani oleh Sri Pahang pada jendela perpindahan pertengahan musim tersebut.

Komen