Tiada Lagi Jualan Tambahan – 59,000 Tiket Malaysia vs Thailand ‘Sold Out’
January 5, 2023 Hafizuddin Omar

Sebanyak 59,000 tiket yang diperuntukkan untuk perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF melibatkan Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) telah habis dijual.

Perkembangan itu disahkan oleh badan induk bola sepak tanah air, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kira-kira 22 jam selepas jualan tiket itu dibuka di laman sesawang www.tickethotline.com bermula jam 3 petang, semalam.

Terima kasih kepada penyokong Harimau Malaya yang telah membeli tiket bagi menyaksikan perlawanan Separuh Akhir 1, Malaysia lwn Thailand.” tulis FAM menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di pelbagai laman sosialnya.

Pada masa yang sama, FAM menyatakan tiada lagi sebarang penjualan tiket tambahan, sama ada secara dalam talian atau di kaunter tiket stadium.

Semalam, FAM memaklumkan hanya 59,000 keping tiket sahaja dijual untuk perlawanan ini.

Sebanyak 21,000 tiket atau tempat duduk terpaksa ‘dikorbankan’ jualannya kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang dalam proses pemasangan.

Untuk makluman semua, SNBJ mempunyai kapasiti tempat duduk sebanyak 87,411.

Komen