Pemain import yang pernah beraksi bersama UiTM FC pada musim 2020 dan 2021 akan kembali mewarnai semula saingan Liga Malaysia 2023.
Ini selepas pasukan yang berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Penang FC mengumumkan menandatangani khidmat pemain tengah bertahan, Ousmane Fane.
Pemain berusia 30 tahun kelahiran Perancis ini juga menjadi pemain import terakhir yang diikat oleh skuad berjulukan Harimau Kumbang pada jendela perpindahan kali ini.
Bagaimanapun, Penang yang mendapat bimbingan sementara Manzoor Azwira ini tidak mendedahkan tempoh kontrak yang ditandatangani oleh Ousmane bersamanya.
Sebelum ini, Ousmane beraksi bersama Morecambe FC yang berpangkalan di Lancashire, England dan bersaing dalam divisyen ketiga negara tersebut iaitu League One.
Untuk makluman, Ousmane merupakan antara tonggak yang membantu UiTM FC kendalian Frank Bernhardt pada ketika itu menamatkan saingan Liga Super yang disertai mereka buat julung kalinya di tangga keenam.
Difahamkan, Ousmane merupakan pemain import baharu yang kelapan serta terakhir yang ditandatangani Penang pada jendela perpindahan kali ini.
Terdahulu mereka telah mengumumkan kemasukan tujuh pemain import iaitu Adriano Narcizo, Giovane Gomes (Brazil), Sonny Saad (Lubnan), Curt Dizon (Filipina), Ryu Yamaguchi (Jepun), Zaw Min Tun (Myanmar) dan An Sae Hee (Korea).
Melengkapkan kuota sembilan pemain import pada musim ini ialah Rafael Vitor (Brazil) yang menjadi satu-satunya pemain import musim lalu yang dikekalkan khidmatnya sekaligus bakal menyaksikannya beraksi bersama Penang untuk tahun keempat dalam kariernya.
Featured Image: UiTM FC