Menteri: Pemasangan Pentas Konsert Perlu 14 Hari, Telah Ditangguh 2.5 Hari Beri Ruang Kepada Piala AFF
January 5, 2023 Hafizuddin Omar

Persoalan mengenai mengapa pentas konsert Jay Chou yang berlangsung pada 15 Januari kelak di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak dipasang selepas berlangsungnya perlawanan pertama separuh akhir Piala AFF 2022 melibatkan Malaysia dan Thailand pada Sabtu nanti akhirnya terjawab.

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh menerusi laman sosialnya menjelaskan pemasangan pentas konsert itu memerlukan 14 hari untuk disiapkan dengan penglibatan 685 krew tempatan dan antarabangsa serta 45 jentera berat.

Difahamkan pentas mega yang terletak di belakang gol bahagian pintu masuk D itu dilengkapi dengan 200 pembesar suara dan 800 lampu.

Tambahnya lagi, pemasangan pentas konsert itu telah tertangguh selama dua hari dan setengah bagi memberi ruang kepada berlangsung perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B antara Malaysia dan Singapura tempoh hari.

Ahli Parlimen Segambut itu turut memaklumkan konsert selebriti dari Taiwan itu juga telah ditempah pada 13 Mac 2019 yang lalu manakala tempahan venue untuk kegunaan skuad Harimau Malaya bagi beraksi dalam kejohanan Piala AFF pula dibuat pada 18 Ogos tahun lalu,

Sebagai rekod, pemasangan pentas konsert Jay Chou menjadi polemik ramai penyokong bola sepak tanah air ekoran pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa ‘mengorbankan’ sebanyak 21,000 tiket sekaligus menyaksikan hanya 59,000 tiket sahaja dijual.

Komen