Piala AFF: Kemarau Kemenangan Thailand Di SNBJ Sejak 2014 Kekal Berpanjangan
January 7, 2023 Hafizuddin Omar

Kemarau kemenangan melibatkan skuad bola sepak jiran tetangga, Thailand ketika menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sejak Disember 2014 terus berpanjangan sehingga ke hari ini.

Rekod itu kekal apabila Malaysia bimbingan Kim Pan-gon berhasil mencetak kemenangan ke atas skuad berjulukan Gajah Perang itu dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, sebentar tadi.

Malaysia yang terkenal dengan julukan Harimau Malaya meraih kemenangan dengan keputusan 1-0 hasil jaringan penyerang sayap, Faisal Halim pada babak pertama setelah menerima ‘assist’ oleh bek kiri, Ruventhiran.

Walaupun Malaysia yang berhasil meraih kemenangan namun perlawanan yang dihadiri oleh 59,000 penonton ini menyaksikan Thailand bimbingan Alexandre Polking mendominasi hampir sepanjang 90 minit permainan.

Selain itu, mereka turut mendominasi daripada segi jumlah percubaan ke arah gawang lawan berbanding Malaysia. Akan tetapi, Thailand terpaksa akur menerima kekalahan ekoran gagal menukar peluang-peluang yang dicipta itu kepada jaringan gol.

Kemenangan 1-0 secara agregat yang dicipta Malaysia ini secara langsungnya turut mengekang Thailand daripada mengutip sebarang jaringan di tempat lawan (away goal) sebelum beraksi dalam perlawanan timbal balik di tempatnya kelak. 

Untuk makluman semua, peraturan jaringan di tempat lawan masih digunapakai dalam kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric kali ini.

Sebagai tambahan, kedua-dua pasukan akan turun berentap dalam perlawanan timbal balik pada Selasa (10 Januari) bertempat di Stadium Thammasat. 

Featured Image: Syamil Rosli | PFA Malaysia

Komen