Kad Touch ‘n Go Sokongan NFC Edisi Terhad Dijual Sempena Terbuka Malaysia 2023
January 10, 2023 Hafizuddin Omar

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pegeluaran kad Touch ‘n Go edisi terhad dengan sokongan NFC (near-field communication) khusus untuk peminat badminton tanah air bersempena dengan berlangsung kejohanan Terbuka Malaysia 2023.

Sebanyak empat variasi kad yang boleh ditambah nilai menerusi aplikasi TNG eWallet dikeluarkan hasil kerjasamanya dengan Touch ‘n Go Malaysia. 

Empat kad itu menampilkan pemain perseorangan, Ng Tze Yong, beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei dan beregu wanita, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan.

Menurut BAM, kad-kad edisi terhad ini akan dijual di reruai (booth) Touch ‘n Go di Axiata Arena pada hari berlangsungnya saingan peringkat separuh akhir dan akhir Terbuka Malaysia pada 14 dan 15 Januari kelak.

Bagaimanapun, pihak BAM mahupun Touch ‘n Go tidak mendedahkan harga jualan kad tersebut. Selain itu, jumlah kad yang dikeluarkan juga tidak dikongsikan oleh pihak mereka.

Komen