Daikin Hiasi Jersi Latihan & Perlawanan Selangor FC Musim 2023
January 10, 2023 Hafizuddin Omar

Jersi latihan dan perlawanan Selangor FC akan dihiasi dengan logo syarikat penyaman udara dari Jepun, Daikin sepanjang musim 2023.

Perkembangan itu hadir selepas skuad berjulukan Red Giants serta Daikin Malaysia Sales & Services Sdn Bhd menandatangani kerjasama pada hari ini.

Kerjasama itu menyaksikan pihak Daikin menyumbangkan sejumlah wang yang tidak didedahkan nilainya kepada umum bagi mengharungi saingan Liga Malaysia yang akan bermula penghujung Februari kelak. Hasil sumbangan itu, Daikin dinobatkan sebagai Rakan Rasmi Platinum terbarunya.

Difahamkan perjanjian ini berlangsung selama setahun namun kedua-dua pihak tidak mennutup ruang untuk melanjutkan kerjasama ini melangkaui tempoh terbabit.

Majlis menandatangani dokumen perjanjian itu berlangsung di ibu pejabat Daikin Malaysia sambil disaksikan oleh Pengerusi Selangor FC, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Shah Alhaj merangkap Raja Muda Selangor (RMS), Ketua Pegawai Operasi Daikin Malaysia, Shago Ando dan Duta Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi.

Komen