Terbuka Malaysia: Pang Ron-Mei Xing Rekod Kemenangan Sulung Di Kejohanan Super 1000
January 10, 2023 Hafizuddin Omar

Gandingan semula beregu campuran, Hoo Pang Ron dan Teoh Mei Xing berhasil merekodkan kemenangan sulung dalam perlawanan kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000.

Lebih manis, pasangan yang kembali bergandingan semula sejak Disember tahun lalu melakar kemenangan itu dengan menumpaskan pasangan Jepun yang menghuni ranking ke-16 dunia pada perlawanan peringkat Pusingan 32 di Terbuka Malaysia, sebentar tadi.

Dalam perlawanan terbabit Pang Ron-Mei Xing meraih kemenangan menerusi tiga set pertarungan yang berkesudahan dengan skor 21-11, 15-21 dan 21-19 dalam tempoh 53 minit permainan di atas gelanggang.

Sementara itu, hasil kemenangan ini, Pang Ron-Mei Xing dapat meneruskan kemaraan ke Pusingan 16. Menantinya di peringkat tersebut samada beregu Perancis, Thom-Gicquel dan Delphine Delrue (pilihan kelapan) atau pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy dan Pitha Haningtyas Mentari (ranking kesembilan dunia).

Sebagai tambahan, Pang Ron-Mei Xing pernah bergandingan bersama sekitar pertengahan tahun 2016 lalu. Ketika itu, mereka sempat beraksi dalam dua kejohanan antarabangsa sebelum kedua-duanya diceraikan dan digandingkan dengan pemain lain. 

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen